Jumaat, 1 Oktober 2010

Penggunaan teknologi multimedia dalam Islam

           Ilmu pengetahuan dan teknologi merupakan dua elemen yang tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Ilmu adalah sumber teknologi yang mampu memberikankemungkinan munculnya berbagai-bagai penemuan, reka cipta dan idea-idea baru. Ini adalah kerana teknologi muncul dari aplikasi ilmu yang ditunjukkan dalam hasil nyata yang lebih canggih serta dapat mendorong manusia untuk mengembangkan ilmu teknologi dengan lebih maju lagi. Menerusi hakikat inilah membuktikan bahawa Islam tidak menghalang atau mengharamkan teknologi serta ciptaan-ciptaan baru terutamanya untuk dimanfaatkan di dalam sistem pendidikan. Menurut pandangan Islam, hukum asal segala sesuatu itu adalah mubah (harus) termasuk segala apa yang dibawa oleh pelbagai peradaban sama ada yang lama ataupun yang baru. Di dalam Islam tidak ada hukumnya haram kecuali jika terdapat nas atau dalil yang terang dan jelas yangmenyatakan sesuatu itu haram.
         Islam  juga amat menggalakkan kajian atau penelitian untuk mencari penemuan-penemuan baru dalam bidang-bidang teknologi serta menggunakannya dalam kehidupan seharian.Islam juga menuntut supaya mengembangkan teknologi sehingga menemui kebesaran dan keagungan Allah yang tidak dapat ditandingi oleh segala mahkluk yang ada di langit dan di bumi:firman Allah:
“lakukanlah pengkajian(penelitian dengan menggunakan metode ilmiah) mengenai apa-apa yang ada di langit dan di bumi.”    (surah Yunus:101)
“tidakkah  kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan di bumi,dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nikmatNya yang zahir dan yang batin.”  (surah luqman:20)

Nama-nama seperti Ibn Sina, Ibn Rusyd, al-Khawarizmi, al-Biruni dan ramai lagi antara
tokoh-tokoh yang tidak asing lagi sama ada di dunia Timur dan Barat. Penghormatan yang diterima ini adalah melalui pencapaian mereka di bidang sains dan teknologi sertapegangan yang kukuh terhadap al-Quran dan hadis. Selain itu, al-Quran juga telah menceritakan beberapa peristiwa berkaitan kaedah dan penggunaan bahan pengajaran untuk digunakan bagi memastikan sesuatu pengajaran itu kekal dalam ingatan pelajar. Contohnya dalam proses tarbiyyah Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w., kaedah  pengajaran menggunakan kaedah pandang dengar (audio visual) digunakan dalam peristiwa Israk dan Mikraj, seperti firman Allah:

“Maha suci Tuhan yang memperjalankan hamba-Nya pada malam hari dari
Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya. Supaya
Kami perhatikan keterangan-keterangan Kami kepadanya. Sesungguhnya Dia
mendengar dan melihat.” (Surah al-Isra’: 1)

Ayat tersebut menceritakan kisah Rasulullah S.A.W. yang telah dibawa berjalan dari Makkah ke Baitul Maqdis pada suatu malam dan diperlihatkan dengan pelbagai peristiwa dan kejadian di sepanjang pengembaraan itu. Peristiwa-peristiwa yang diperlihatkan itu berkait rapat dengan ilmu dan pendidikan yang boleh melahirkan insan yang beriman dan bertaqwa. Baginda bukan sahaja diisrak dan dimikrajkan bahkan diperlihatkan pelbagai peristiwa melalui penyaksian pancainderanya yang diinterpretasikan semula oleh Jibril. Menerusi kisah ini menunjukkan pentingnya penyaksian pancaindera untuk menguatkan ingatan terhadap sesuatu perkara. Jadi, kaedah pandang dengar ini boleh didapati daripada penggunaan pelbagai jenis peralatan teknologi dalam pendidikan.
         Kesimpulannya, Islam telah menetapkan bahawa sesuatu perkara itu adalah tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan Sunnah dan tidak terkecuali juga ilmu dan teknologi. Oleh itu, Islam tidak pernah menghalang atau menolak kemajuan ilmu pengetahuan dan pekembangan teknologi dan tidak anti kepada peralatan teknologi. Apa yang penting, kemajuan teknologi dalam bidang pendidikan tersebut dapat dimanfaatkan dan bertepatan dengan teori-teori dan objektif tamadun Islam.
     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...